Sepatutnya saya menulis tentang ini sejak lama dulu. Sebulan yang lepas. Namun, sebulan itu macam-macam perkara telah berlaku membuatkan saya tidak dapat memikirkan dengan baik bagaimana menulisnya.
AlHamdulillah, sudah sebulan hampir kita selesai pilihanraya. AlHamdulillah tidak ada apa-apa perkara buruk yang berlaku setakat ini hingga melibatkan rusuhan, tumpahan darah dan pergaduhan kaum yang kritikal walaupun dilihat pada awal media massa kita seolah-olah mengapi-apikan isu perkauman.
Teringat kata-kata ini, tentang janji Allah bahawa apabila satu kaum berada dalam kemungkaran dan di antara mereka ada yang menginginkan kebenaran , Allah akan gantikan kaum itu dengan kaum yang lebih baik kerana mereka mencintai Allah dan mencintai kebenaran. Doa saya sejak lama dahulu bertahun-tahun sebelum pilihanraya sekali lagi supaya Allah melindungi saya daripada orang-orang zalim, menjadi zalim dan berada bersama golongan yang zalim. Jadi bagi saya, tidak kisah dari mana asalkan bukan orang-orang yang zalim kerana Rasulullah sendiri pernah berpesan supaya takutkan doa-doa orang yang dizalimi. Mereka tiada hijab antara Allah. Doa mereka kepada orang yang menzalimi mereka akan terkena kepada orang-orang yang zalim dan juga mereka yang bersama dan menyokong kezaliman itu. Allahu’alam. Saya bukan ingin menceritakan soal perihal zalim di sini, sebab saya bukanlah ilmuwannya.
Apa yang ingin saya sentuhkan di sini sebenarnya adalah tentang sewaktu di awal pembentukan kerajaan negara kita ini banyaknya orang yang berasa risau. Risau kerana sewaktu itu kita sendiri tidak boleh menyangkakan apa yang akan berlaku, risau kerana terlalu banyak dimomokkan yang bukan-bukan oleh media kita. Ya, saya kira mereka tidak salah. Kita menilai dengan apa yang berada di sekeliling kita. Cuma bezanya sebahagian menilai sehingga ke akar umbi, dan sebahagian menilai dari atasnya sahaja.
Melihat sejarah negara kita, contohnya Melaka (tidak, bukan kerana saya orang yang tinggal di Melaka, tapi kerana sejarah itu sudah terbukti). Kita fikir bukankah masa itu begitu ramai manusia di Melaka, dari segenap pelusuk tempat. Bukankah masa itu semua dilayan saksama, semua dilayan seadilnya kerana bagi sesiapa sahaja yang berada di bumi Melaka waktu itu dianggap berada di bawah naungan Melaka dan berhak dilayan di bawah undang-undang Melaka. Bahkan ada yang membina penempatan di Melaka. Adakah orang-orang Melaka takut perniagaan mereka hilang, atau tanah mereka hilang , atau harta mereka dicuri orang? Tidak,kan. Bahkan ramai juga yang bercampur –gual dengan musafir-musafir pedagang, berkahwin dan beranak-pinak sehingga darah Melayu ini sudah pelbagai.
Mengapa tidak takut di hati mereka? Kerana itu janji Allah selagi mana mereka mengikut sebaik-baiknya hukum Allah dan tidak melakukan kezaliman, Allah akan menguatkan mereka. Kalau diikutkan sejarah Melaka secara halus kita melihat ada unsur-unsur kezaliman yang ketara kepada Allah dan rakyat jelata, maka seluruh negeri tunggang terbalik. Apapun, sekali lagi. Saya bukan sejarahwan.
Jadi kalau sejarah sudah membuktikan kemampuan kita, jangan takut. Kalau kita pegang kuat-kuat pada ayat-ayat Allah, maka inshaAllah kita harus mempercayai selagi mana kita mahukan kebenaran kerana Allah maka Allah akan mempertahankan kita. Dan jikalau kelak Allah ganti dengan kaum yang lebih baik setelah kaum yang terdahulu tidak berusaha menjadi baik, maka kita harus mempercayai dan berdoa kita termasuk dalam kaum yang lebih baik itu supaya kelak kita tidak hancur. Untuk itu, kita juga perlu berusaha untuk menjadikan diri kita lebih kuat dan lebih baik, seperti kisahnya yang disebut dalam sejarah kita...
Oh, ya.. lempeng saya sudah hampir hangit kerana menulis ini.. Sekali lagi, saya bukanlah tukang masak yang baik.. :p
No comments:
Post a Comment