Tuesday, November 30, 2004

Kekalahan Buat Amerika

Hmm.. Sekadar mengisi kekosongan yg dah beberapa hari tak mampu utk diupdate. Article menarik utk dikongsi bersama. :)

==========

Kematian askar kekalahan buat Amerika
Oleh Isa Nikmat (orangmuda@bharian.com.my)

ALLAHYARHAM Yasser Arafat terus menjadi legenda perjuangan kemerdekaan anak Palestin. Walaupun isteri George W Bush berpandangan dunia akan melupakannya, Arafat bukan nama yang dibenci kerana pembunuhan, tetapi seluruh dunia simpati dan kasih terhadap beliau dan pribumi Palestin.

Malah, majoriti masyarakat dunia tidak ingat pun nama isteri Bush. Kenyataannya lebih dianggap merapu. Mungkin ramai rakyat Amerika Syarikat (AS) juga perlukan beberapa saat hendak mengingati namanya. Ringkasnya, orang tidak peduli pun.

Hal yang pasti ialah masyarakat dunia risau dengan tindakan Bush. Kerana keputusan kerajaan pimpinannya, 1,214 keluarga AS kini menangisi kematian anak mereka yang berperang dalam pencerobohan di Iraq.

Malah, pentadbiran Bush terpaksa mencari jalan supaya dapat memerapkan berita beg mayat tenteranya tiba setiap hari di AS dari Iraq. Kepiluan keluarga tentera yang mati disejukkan dengan penganugerahan pingat, penghormatan dan kunjungan pegawai tinggi tentera ke rumah. Walaupun secara teknikal semua itu adalah `collateral damage' untuk Washington, kebanggaan dipupuk sebagai tanda mati untuk negara bagi mengalih perhatian keluarga daripada kesedihan.

Jika tidak, kebangkitan pelajar universiti dan seluruh masyarakat AS akan sekali lagi menghalang pentadbiran Rumah Putih daripada meratah Iraq, misi di Afghanistan, Iran, Syria dan sebarang negara pemilik petroleum dan uranium yang menjadi sasaran strategik.

AS tidak mampu menahan kebangkitan rakyatnya seperti mereka menghentikan misi ketenteraan di Vietnam. Namun, setakat mana Bush dan penasihatnya dapat membendung berita kematian. Kecederaan, trauma perang dan kematian sentiasa menghantui tenteranya di luar negara.

Kecederaan, trauma perang dan kematian adalah kekalahan buat AS, manakala bagi pejuang kemerdekaan, kematian adalah kemuncak kemenangan dalam peperangan. Apa lagi bagi kebanyakan masyarakat Asia Barat, tiap kematian mesti dibayar dengan satu nyawa.

Maka di mana penghujungnya kematian dan kekalahan buat Bush dan tenteranya? Setiap hari mereka menghitung kematian. Setiap kali Fallujah atau Tebing Gaza menangisi kematian, mereka boleh menjangkakan kebangkitan berganda pejuang kemerdekaan daripada kalangan anak Palestin, Iraq dan Afghanistan.

Menyedari atau berasa bahang budaya perjuangan dan kebangkitan kemerdekaan itu, bukan saja Bush dan Tel Aviv tidak senang duduk, malah seluruh rakyat AS kerisauan. Semua kepentingan AS dan sekutunya, khususnya Britain dan Australia terpaksa berjaga-jaga. Ketenteraman fikiran bukan lagi menyelimuti tidur atau pakaian waktu jaga mereka.

Sebab itu, kalau boleh setiap pelancong ke AS mahu ditelanjangkan ketika pemeriksaan imigresen. Setiap kedutaan mereka di luar negara terpaksa dilebarkan jarak selamat, dilaburkan belanja keselamatan dan dibantu kawalan oleh polis tempatan.

Di Britain, semakin mereka menyisih bangsa berketurunan Asia, bertambah terancam mereka terasa. Berita pasukan keselamatan membelasah teruk orang Asia disyaki melakukan jenayah lebih banyak menggugat ketenteraman awam.

Di Afghanistan, gerakan Taliban dan nasionalis kemerdekaan belum pernah terpadam. Sekali sekala aroma kehangatannya terpancar di bumi kaya petroleum itu.

Sementara itu, dunia lain terpaksa memastikan tiada bibit `keganasan' yang boleh mengundang campur tangan kuasa besar, manakala di Malaysia ada kelompok yang berasa dizalimi kerana dihukum disebabkan kesalahan sendiri atau suara songsang mereka tidak dibenarkan.

Di Fallujah, setiap lelaki berusia lebih 15 tahun dipastikan kematian oleh tentera AS. Kezaliman bermaharajalela di Tebing Gaza atau sebut saja sudut strategik dan kawasan subur Palestin.

Semuanya membibitkan kebangkitan lebih ramai pejuang menentang Bush. Rakyat AS sendiri menerima tempias besarnya. Walaupun sebahagian besarnya rakyat Islam yang sama terasa kesengsaraan saudara mereka, di Chile demonstrasi mencetuskan rusuhan sebagai bantahan terhadap Bush. Mereka sudah meluat.

Namun, bagi kebanyakan masyarakat dunia, pada zaman ini penentangan secara fizikal dan ketenteraan bukan lagi penyelesaiannya. Malah, pendekatan membentuk perikatan keamanan antarabangsa memberikan sinar harapan. Persidangan masyarakat bertamadun dunia oleh Perikatan Keamanan Rakyat Malaysia (AMAN Malaysia) awal tahun depan boleh membuahkan hasil agenda dunia ini. Setiap anak Malaysia dan warga dunia mempunyai tanggungjawab menjayakannya.

Biarlah Bush, Condolezza Rice dan penasihat mereka mencari rasional untuk memenuhi agenda penguasaan dunia Tel Aviv. Berapa ramai lagi harus mati untuk dasar luar amalan Bush? Ketika pejuang mencapai kemuncak jihad mereka, tiap hari AS menghadapi kematian tenteranya. Tiap hari kematian adalah kekalahan buat AS. Mampukah Bush mengurus perspektif dunia menerusi perang saraf dan media massa?
Sumber : Berita harian Online

No comments: