Saturday, December 27, 2008

Kasih Seluas Semesta 3

p/s: Langit ke-7 di sini kebetulan sahaja ok..

Ah..soalan retorik lagi kah? Saya berfikir. Hempas pulas memerah minda. Gadis muda seperti ini, tidak banyak boleh dikatakan.

Imaginasi saya sudah mula berputar. Bermula tentang sungai dan laut. Betapa dalamnya dasar laut itu, saya membayangkan jaraknya sampai ke gunung paling tinggi, lalu ke atas menuju langit sejauh mata memandang.

Kemudian melihat bendang yang luas, hutan yang menghijau, ladang bunga yang berwarna-warni dan padang ragut hijau yang luas. Membayangkan pula saya berputar-putar di tengah-tengah padang pasir yang kelihatan bagaikan lembaran kain sutera yang besar. Luasnya alam tidak terkata.

Minda saya menerawang lagi. Pergi ke bulan, bintang, lantas menerokai angkasaraya dengan galaksi-galaksi, planet-planet dan matahari besar bersinar. Saya cuba menjelajah alam gelap yang cukup luas itu. Sudah berapa tingkat langitkah ini? Fikir saya. Jauh sungguh ingin sampai ke langit ke-tujuh.

”Adik, sudah sampai ke mana?”, Kakak bertanya. Tersenyum. Mungkin Kakak sudah tahu saya sudah sampai ke langit tingkat yang entah berapa.

Saya juga senyum. Tersimpul.
”Jauhnya jarak kalau kita ingin mencari Tuhan ya akak”, giliran saya bertanya. ”Macamana kita nak tahu kalau Tuhan itu dengar atau nampak kita, akak?” Soal saya lagi.

Kakak menarik nafas. Memandang langit. Matanya tidak berkedip, seolah-olah sedang berbicara pada langit.

Kakak memandang wajah saya. ”Pernah tak adik fikir sesuatu di dalam hati, dan kemudian dengan sungguh-sungguh berdoa supaya Tuhan memberikannya kepada adik. Tiba-tiba adik mendapatnya?”. Saya cuba berfikir, minggu lalu saya sangat teringin makan sambal udang yang besar. Tetapi tidak sampai hati memberitahu kepada nenek, tidak mahu orang tua itu susah-payah mencarinya. Saya simpan senyap-senyap. Petang itu, nenek pulang dari pasar membeli udang besar. Kata nenek, dia tiba-tiba terasa hendak ke pasar dan melihat udang yang baru dinaikkan tergerak hatinya ingin membeli. Dalam hati saya sempat berkata ”terima kasih Tuhan”.

”Tuhan memberitahu kepada kita, jarak antara Dia dan kita sangat dekat. Sehinggakan lebih dekat dari apa yang kita sangkakan. Dia sentiasa bersama kita selagi mana kita mengingatiNya. Itu semua kerana kasihNya pada kita sebagai hambaNya. Kerana kasih itu, Dia memberikan kita seluruh alam ini sebagai tanda penghargaan terhadap apa yang dikasihiNya, juga supaya yang dikasihiNya itu melihat tanda kewujudan Dia pula”.

Saya cuba menghubung-kaitkan kata-kata Kakak dan hidup saya. Mungkin apabila emak memeluk saya dan menyapu kepala saya, saya terasa kasihnya emak. Juga apabila emak memberitahu dia sayangkan saya, dan memberi sesuatu yang istimewa untuk saya, saya terasa sayangnya emak pada saya. Tentu juga saya sangat suka setiap kali berbual dengan emak dan dia mendengar apa yang saya katakan, saya terasa sangat dihargai.

”Dalam dunia ini adakah orang yang punya kasih sayang macam itu akak?”, soalan saya kelihatannya sangat lurus, naif sedikit. Ahh.. adik yang baru menginjak umur belasan tahun.

No comments: