Sila rujuk kisah terdahulu di sini
p/s: tag tu nanti dulu ya Shelley! :)
Terlintas di fikiran saya, Kakak putus kasihkah? Tiba-tiba berbicara soal hati pula dengan saya.
Kakak senyum sendiri. Kami diam seketika. Memandang lopak-lopak kecil di bawah kami, mungkin terhasil kerana ruang-ruang udara dari dalam tanah atau ada ikan kecil bermain-main di dalam sana.
”Perasaan itu satu rasa yang istimewa. Ia muncul boleh jadi pada nisbah yang kecil, dan dipupuk menjadi besar. Kadang-kadang kita rasa melimpah ruah perasaan itu keluar daripada jiwa kita sehingga menyesakkan dada kerana besarnya perasaan itu”, Kakak berbahasa lagi.
”Macam cerita ayam tadi. Kalau tak sayangkan ayam, mesti kita tidak rasa apa-apa apabila ayam itu disembelih. Sedangkan kalau ayam-ayam lain yang dimasak tentu kita seronok makan, kan..”.
Saya mengiakan sahaja kata-kata Kakak. Sedikit faham. Ada benar juga kata Kakak. Kalau tempoh hari ayam lain yang dimasak, sewaktu siap digoreng garing dan panas-panas diangkat dari kuali tentu saya sudah terliur. Terbau aroma rempah kunyit dan garam semerbak juga sudah membangkitkan selera.
Kakak bercerita lagi. ”Sebab itu apabila rasa itu sudah banyak, kita bagaikan berada dalam khayalan rasa. Rasa itu sudah jadi racun, mengaburi penglihatan dan waras akal. Jadinya, itulah lahir cinta itu buta”.
Berkerut-kerut dahi saya. Bahayanya penyakit ini. Saya tidak boleh membayangkan bagaimanakah kuatnya racun yang boleh membutakan mata saya. Saya sangat suka mewarna lukisan. Saya masih mahu melihat warna-warna pensel untuk melukis dan mewarna. ”Akak, saya tak mahu jadi buta”, kata saya.
Kakak melihat saya. Mengusap rambut saya sambil tersenyum. ”Sebab itu kita harus belajar. Menjadikan kasih kita seluas semesta. Seperti dia”, balas Kakak.
”Macamana?” soal saya lagi.
”Kasihnya dia lebih dalam dari dasar lautan yang paling dalam, setinggi langit yang diciptakan Tuhan, seluas kanan dan kiri kita yang terbentang. Kasihnya dia tidak mengenal siapa kita, tiada batasan jarak juga tiada batasan waktu. Kasihnya dia sehingga ke akhir zaman, sehingga hari kita dibangkitkan semula”, Kakak mula lagi bercerita tentang kasih. Berkelip-kelip mata saya memandangnya.
”Dia membukakan hatinya seluas-luas yang diciptakan Tuhan. Sebab itu dia boleh mengisi sebanyak-banyak kasih dalam jiwanya. Kita tentunya tidak boleh menyamakan tahap dan taraf dia, namun kita boleh belajar dan berusaha membebaskan jiwa kita sehingga menjadikan kasih kita seluas semesta. Membuka perasaan kita seluas-luasnya dan melapangkan dada kita selapang-lapangnya. Tanpa batasan waktu, juga tanpa sempadan jarak”, sambung Kakak.
”Jadi, kalau kita sakit juga Akak?” tanya saya.
..bersambung...
No comments:
Post a Comment