Friday, September 23, 2005

To share

Mungkin takde ape2 sgt.. Tapi saya terpikat dengan tulisan ini.
Mcm ada satu semangat yg pernah membara. Hmm.. darah susur galur pahlawan lama mungkin:). Copy & paste for all to read and share.

p/s: Aida, insha-Allah i will try to do your "List to do" tu when time allows me to do. Sekarang tak sempat nak jengukler:)

...........

Berdebatlah mengenai fakta-fakta sejarah secara terbuka!

Ilmu sentiasa berkembang melalui perdebatan yang memakan tahunan masa. Salah satu disiplin ilmu yang mendasari segala ilmu adalah sejarah. Oleh itu, fakta-fakta sejarah masih ada ruang untuk diperdebatkan agar ilmu sentiasa berkembang. Ia akan sentiasa dicabar oleh para cendekiawan, para pemikir muda atau para 'mujaddid' dalam pembaharuan masyarakat kita.

Misalnya, fakta kedatangan Islam di Malaysia yang dipercayai pada mulanya berasal dari India dan lainnya, akhirnya disangkal Buya Hamka dan Syed Muhammad Naquib al-Attas. Alasannya, mazhab fekah as-Shafie yang diamalkan oleh masyarakat Melayu menunjukkan bahawa Islam di rantau ini dikembangkan oleh para muballigh Arab (Jeddah dan Hadramaut). Sedangkan, amalan feqah di India dan lainnya bukan bermazhab Syafie.

Demikian juga penelitian al-Attas ke atas Batu Bersurat Terengganu yang membuktikan tarikh yang tepat mengenai kedatangan Islam di Tanah Melayu. Kajian rasional, saintifik dan konkrit itu tidak mudah disangkal oleh generasi selepasnya. Ringkasnya, penjelajahan ilmu di lautan fakta amat mengasyikkan dan mengghairahkan minda generasi muda.

Tiada apa yang perlu ditakutkan. Apatah lagi dengan kedewasaan usia negara mencecah 48 tahun merdeka, generasi muda kini dan masa depan sudah tentu perlu disedarkan mengenai hakikat sebenar mengenai asal-usul perkembangan konsep 'kontrak sosial', 'ketuanan Melayu, dan lain-lain.

Insan yang takut berdebat mengenai fakta sejarah tidak sepatutnya memimpin sesebuah organisasi. Apatah lagi organisasi yang besar. Ini kerana, pemimpin perlu menghadam sirah dan mengunyah fakta-fakta peristiwa untuk diambil iktibar agar hal buruk yang lalu tidak diulangi. Pemimpin yang buta sejarah amat mudah terjebak dalam kesilapan yang sama. Ini sudah tentu merugikan agama dan bangsa. Al-Qur'an contohnya mengisahkan pelbagai ragam insan di sepanjang peradaban.

Boleh dikatakan rakaman peristiwa perjuangan Nabi dan beberapa siri penentangan antara kebenaran dan kepalsuan itu akan berulang-ulang sehingga kini. Kisah pembunuhan pertama melibatkan Habil dan Qabil dinisbahkan kepada jenayah pembunuhan kini.

Kisah Nabi Daud a.s yang masih kecil saat membunuh Jalut dengan batu dinisbahkan kepada ulangan kisah kanak-kanak Palestin yang berjuang dengan batu kerikil melawan juak-juak Israel kini. Sejarah ini adalah ulangan peristiwa lalu tetapi dilakonkan oleh watak lain dan mungkin dengan sedikit pertukaran watak. Demikian nasihat Buya Hamka. Itu baru cerita falsafah sejarah.

Ketepikan cerita falsafah. Pertamanya, bersediakah umat menelan semua fakta walaupun pahit? Jika bersabar, ia tetap manis untuk dikenang. Kedua, menurut al-Attas, budaya ilmu hanya tercetus apabila setiap anggota masyarakat itu mempunyai sikap 'berani menyoal'. Yang lebih mencabar, siapa pula orang yang 'berani menjawab' tanpa emosi melainkan rasional semata-mata? Islam Hadhari amat mengagungkan penguasaan ilmu. Ilmu terbina melalui siri perdebatan secara terbuka 'free-market of ideas'. Tepuklah dada tanyalah keikhlasan jiwa.

Tidak semua perkataan 'musuh' itu palsu. Tidak semua nasihat 'kawan' itu benar. Sebabnya, dalam banyak sokongan, falsafah Melayu selalu mengasah ingatan; berhati-hatilah kerana ada 'sokong bawa rebah' seperti ampuan, bodekan dan lain-lain. Oleh itu, Kalau 'musuh' mempertikai siapa pejuang merdeka, rasanya betul juga. Kerana para pejuang merdeka bukan seorang dua. Yang menentang Portugis, Belanda, Jepun, Siam dan lain-lainnya mustahil ditangani oleh seorang sahaja melainkan dengan angkatan besar pejuang Melayu terdahulu.

Umpama sirah perjuangan para anbiya memerangi kekufuran sehingga kemerdekaan 'aqidah mengatasi syirik. Ia bermula dari zaman Nabi Adam. Kemudian, Nabi Ibrahim yang berulang-ulang memperjuang aqidah tauhid - millah hanif yang bukan syirik sehinggalah kepada Nabi Muhammad yang dibangkitkan untuk menyempurnakan akhlak sebagai pelengkap kepada Insan Kamil. Nabi Muhammad s.a.w sebagai Rasul terakhir tidak menafikan jasa, sumbangan dan perjuangan para Rasul sebelumnya melalui ikatan sabdanya.

Syahadan, jika tiada saranan tarikh 31 Ogos daripada ulama seperti Haji Abdullah Fahim kepada Almarhum Tunku, masakan kita merdeka? Di mana fakta-fakta mengenai perjuangan ulama' menjelang merdeka seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy, Abu Bakar al-Baqir, Hassan Adli dengan ketuanan Melayunya dan lain-lain? Hal ini tidak boleh didiamkan daripada generasi muda hadhari di era Islam Hadhari.

Rumah tidak terbina hanya melalui tiang seri. Ada batu-bata dan lain-lain sistem sokongan yang utuh juga. Rumah merdeka telah pun siap dibina, namun paku-paku berkarat telah tertanggal kesemuanya dan pahat-pahat muda telah berbunyi. Serulah jurutera yang faqih sirah di pondok universiti untuk kembali membinanya semula. Apabila selesai, jangan pula diulang derita Taj Mahal; tangan arkiteknya ditanggalkan seusai pembinaannya.

Hormatlah kepada cendekiawan universiti yang ingin membantu. Apabila bantuan ilmiah dihulur, mereka ini jangan 'dipinggirkan' dari suaka ilmu jika mereka terkasar sedikit dalam ucapan kata-kata. Marahnya seorang pendeta bangsa adalah nasihat untuk merawat keangkuhan untuk memimpin bangsa merdeka!


Ibnuamir al-Pendangi,
Sekolah Pemikiran Tunjungan,
Pasca-USM.

1 comment:

tm nut said...

tepuk tepuk tepuk